Content on this page requires a newer version of Adobe Flash Player.

Get Adobe Flash player



SEJARAH RINGKAS MOHD. AMIN BIN HJ MOHD YUSOF, PENYAMBUNG LEGASI NAKHODA YUSOF

Mohd Amin hj Mohd Yusof

Mohd Amin Bin Hj Mohd Yusof dilahirkan pada tahun 1898 dan merupakan anak bongsu kepada Nakhoda Yusof dari isterinya yang keempat, Maimunah Bt Zainal Din yang dikatakan berasal dari Kelang, Selangor. Ibunya meninggal dunia ketika beliau berumur tiga tahun dan beliau telah dididik oleh ibu tirinya. Ayahnya meninggal semasa beliau berumur tujuh belas tahun (1915).

Sejak muda lagi beliau telah menceburkan diri dalam urusan perniagaan terutama yang diusahakan  ayahnya. Kemudiannya beliau juga telah mengusahakan lombong bijih timah di Selangor, emas di Pahang serta juga mengusahakan ladang-ladang getah di Klang. Beliau dikenali dikalangan masyarakat tahun 30-50an sebagai Mat Min Kaya.

Salah satu usaha beliau di zaman pra merdeka ialah menubuhkan Akhbar MAJLIS.

Mengikut Zakiah Hanum (bekas Ketua Pengarah Arkib Negara), dalam bukunya “Tercabarnya Maruah Bangsa” yang menggunakan surat khabar Majlis sebagai asas rujukannya, suratkhabar itu terlibat” dalam membentuk perjalanan sejarah Tanah Melayu selepas perang dan lebih khusus dalam usaha menentang Malayan Union dan menubuhkan parti politik yang terbesar di Negara ini……..

Mohd Amin memberi kebebasan penuh kepada pengarangnya untuk menulis mengenai perkara perkara yang berfaedah kepada bangsa kerana matlamat dan dasar Majlis ialah untuk memperjuangkan hak-hak kebangsaan Melayu… Di pejabat Majlislah tercetusnya idea untuk menubuhkan sebuah badan politik Melayu yang memperjuangkan hak hak kebangsaan Melayu………………Keberkesanan sumbangannya ialah dari segi keupayaan akhbar itu mengubah sikap, gaya berfikir dan rasa kesedaran dikalangan masyarakat Melayu untuk menubuhkan barisan bertindak kebangsaan …….. Melalui Majlis para wartawannya telah meniupkan semangat kesedaran politik dengan membentangkan sesuatu isu secara bertubi tubi…. Pemerintah yang selama ini telah mengenepikan orang Melayu telah mulai celek dan merasa gusar dengan kebangkitan semangat Melayu ini…………………

Peranan Majlis di dalam menyelenggarakan penubuhan Kongres Melayu pada 1-3 Mac 1946 tercatat kekal di dalam sejarah penubuhan UMNO. Majlis yang bertindak sebagai urusetia pungutan derma Kongres berikhtiar dengan membuat rayuan hampir setiap hari kepada orang ramai melalui rencana pengarangnya……….. ………setelah selesai kongres dan Umno diwujudkan derma tersebut dijadikan pula derma kebangsaan untuk keperluan awal parti politik yang masih muda itu.”

Sayugia disebutkan di sini bahawa di antara wartawan yang pernah bertugas di akhbar Majlis ialah Abdul Rahim Kajai, Mohd Sallehuddin, Abdul Samad Ahmad, Ahmad Boestamam dan Melan Abdullah. Alamat asal pejabat Majlis ialah No 137, Batu Road (Jalan Tuanku Abdul Rahman) iaitu sekarang kedai kain Nagoya.

Mohd Amin telah meninggal pada 21hb Oktober 1951 pada jam 1 pagi akibat sakit jantung, pada usia 53 tahun. Beliau telah disemadikan di tanah perkuburan Jalan Ampang di luar kawasan yang berpagar besi.

 

 





Anggota Akhbar Majlis

Gambar Anggota Akhbar Majlis - Mohd Amin (duduk ditengah) Pengasas Akhbar Majlis dan The Selangor Press.


 

Akhbar Majlis

Akhbar Majlis terbitan The Selangor Press. Akhbar ini telah ditubuhkan oleh Mohd Amin, anak Nakhoda Yusof.